[VIDEO] 'Khemah besar' mampu saingi penyatuan ummah UMNO-Pas - Mat Sabu

SHAH ALAM - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu yakin kerjasama politik menerusi pendekatan khemah besar atau ‘big tent’ mampu menyaingi agenda penyatuan ummah yang digerakkan UMNO dan Pas.

Bagaimanapun, beliau berkata, cadangan berkenaan masih di peringkat awal dan belum melalui sebarang rundingan rasmi.

**media[3719104]**

“Belum ada rundingan rasmi lagi tapi insya-ALLAH, boleh saingi.

“Nanti keputusannya bila dibuat kena menerusi mesyuarat Majlis Presiden. Kalau Amanah saja setuju, yang lain tidak setuju tak boleh juga,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen Nasional 2026 Amanah di sini pada Ahad.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil mencadangkan supaya Pakatan Harapan (PH) memperluaskan pendekatan politik menerusi konsep khemah besar dengan merangkul lebih banyak parti berteraskan Melayu bagi meningkatkan sokongan pengundi Melayu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Muhammad Faiz berkata, pendekatan itu perlu diberi perhatian kerana prestasi kerajaan termasuk dalam aspek ekonomi, kestabilan politik, pelaburan dan pengurusan negara masih belum diterjemahkan sepenuhnya kepada sokongan dalam pilihan raya.

Menurutnya, Amanah tidak boleh hanya bergantung kepada agenda Islam dan keadilan untuk meningkatkan sokongan Melayu dalam jangka pendek, sebaliknya perlu melihat keperluan memperluaskan kerjasama politik.